Saturday, June 27, 2020

Ibrahim Ali persoal Umno gesa mahu segera PRU, dakwa ada maksud tersirat

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Ibrahim Ali mendakwa tindakan sebilangan pemimpin Umno mendesak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan segera adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ibrahim berkata, alasan pilihan raya dapat merungkai kekusutan politik negara adalah tidak berasas malah dibimbangi mengeruhkan lagi keadaan politik semasa.

"Persoalannya apakah sebab dan nawaitu (niat) Umno agar disegerakan PRU 15? Kenapa Umno tidak mengambil sikap Dewan dibubar dan PRU diadakan atas dasar prinsip moral? Kenapa sekarang secara tiba-tiba? Apakah alasannya?

"Kerana alasannya politik negara kusut dan hanya boleh diselesaikan melalui PRU? Apa jaminan kesetabilan politik stabil selepas PRU? Apakah rakyat akan membuat keputusan memberi undi kepada mana-mana parti untuk dapat 2/3 majoriti?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Umno dikatakan mendesak agar PRU diadakan segera bagi mengembalikan semula kestabilan politik negara.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan menerusi catatan di Facebook berkata, keadaan politik tidak stabil bukan sahaja memberi kesan kepada keharmonian negara malah merencatkan pelaburan dan ekonomi.

Terdahulu, Ibrahim mendakwa terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno terhadap agihan jawatan dalam kalangan ahli parlimen yang dibuat Muhyiddin.

Jelasnya, Muhyiddin bukan sahaja dikatakan gagal memenuhi kehendak Umno malah dilihat terlalu mementingkan kem bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Memang kedengaran pemimpin Umno kini banyak tidak puas hati dengan layanan PM ke-8 (perdana menteri ke-8). Mereka tidak puas hati dengan jawatan-jawatan yang banyak diisi oleh ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan Azmin terutama jawatan-jawatan penting," katanya lagi.

Sehubungan itu, Ibrahim mengingatkan semua pihak agar bertenang selain berjanji partinya akan terus membela nasib rakyat agar tidak terus terjerumus dalam kekusutan politik negara.

Pada masa sama, Ibrahim turut mengingatkan setiap parti politik mengutamakan nasib rakyat daripada hanya mementingkan perebutan kuasa. - MalayMail

 

Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........MINDARAKYAThttp://mindarakyat.blogspot.com/mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS ©1439 Hakcipta Tak TerpeliharaAnda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

No comments:

Post a Comment