KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada dalam landasan pemulihan lantunan drastik berbentuk 'V' disokong peningkatan pantas di luar jangkaan dalam beberapa sektor selepas ekonomi dibuka semula bermula Mei lalu meskipun mencatatkan penguncupan mendadak pada suku kedua 2020.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata terdapat beberapa penunjuk ekonomi yang menunjukkan perbelanjaan seperti perdagangan borong dan runcit, pengeluaran perindustrian dan perbelanjaan kad kredit mencatatkan kemajuan selepas terjejas pada April.
Beliau berkata, eksport kasar juga meningkat pada Jun 2020 dengan menunjukkan potensi ke arah pemulihan permintaan luaran.
Katanya, momentum positif itu dijangka berterusan menuju ke depan dengan pertumbuhan dijangka mencatatkan kemajuan pada suku ketiga 2020.
"Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan beransur-ansur pada separuh kedua 2020 dipacu oleh peningkatan permintaan luaran dan kitaran teknologi, pembukaan semula ekonomi yang mana menyokong pekerjaan; peningkatan prospek pendapatan yang menggalakkan perbelanjaan dan pakej rangsangan fiskal di samping pelaksanaan langkah monetari serta kewangan.
"Pertumbuhan pada separuh kedua juga akan mendapat sokongan tambahan daripada pelaksanaan berterusan projek pengangkutan awam yang besar dan pemulihan dalam sektor komoditi," katanya pada sidang media secara maya bagi mengumumkan prestasi ekonomi dan kewangan suku kedua 2020 di sini hari ini.
Nor Shamsiah berkata, ekonomi negara mencatatkan penguncupan mendadak pada suku kedua dengan menguncup 17.1 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 yang menyebabkan pemberhentian aktiviti ekonomi secara mendadak.
Keadaan itu, katanya, mengakibatkan kejutan bekalan dan permintaan yang bukan saja berpunca daripada keadaan permintaan luaran yang sangat lemah tetapi juga kekangan pengeluaran dalam banyak sektor ekonomi.
"Daripada penguncupan mendadak pada April kepada peningkatan semula mendadak sebaik saja sekatan (pergerakan) dilonggarkan. Jadi, ekonomi dijangka beransur-ansur pulih pada separuh kedua 2020 dan dijangka mencatatkan pemulihan yang lebih kukuh pada 2021," katanya.
Nor Shamsiah berkata, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang dalam julat antara -3.5 peratus hingga -5.5 peratus pada 2020, sebelum kembali pulih dalam julat pertumbuhan antara 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021.
Beliau berkata, jangkaan pertumbuhan kukuh pada 2021 dipacu oleh aliran meningkat permintaan luaran dan domestik yang akan menyokong persekitaran operasi yang lebih baik.
Katanya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi dunia berkembang 5.4 peratus pada 2021, dan Malaysia akan meraih manfaat daripada perdagangan yang tinggi, yang mana memberi limpahan kepada permintaan domestik.
Mengulas sama ada pemulihan lantunan semula berbentuk 'V' menunjukkan tempoh sukar sudah berakhir, Nor Shamsiah berkata, keadaan itu tidak bermakna misi memperkukuhkan ekonomi negara sudah selesai, sebaliknya tumpuan perlu diperhebatkan dengan terus melabur dalam meningkatkan kapasiti ekonomi.
Beliau berkata, Malaysia juga berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan daripada peningkatan permintaan produk teknologi dan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kekuatan untuk membangunkan penyelesaian teknologi yang dapat memenuhi keperluan norma baharu.
#Sumber : Berita HarianMR : Menangis geng PH, tak ada isu nak main
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt............oo000oo...........MINDARAKYAThttp://mindarakyat.blogspot.com/mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak TerpeliharaAnda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
No comments:
Post a Comment