KUALA LUMPUR – Punca utama ekonomi Malaysia mengalami kemerosotan dan para pelabur kurang berminat ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) disebabkan sikap sombong kerajaan dan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu.
Penganalisis Politik, Dr Hoo Kee Ping berkata, kerajaan ketika itu seolah-olah cuba mencetuskan 'peperangan' daripada segi ekonomi dengan kebanyakan negara kuasa besar dunia termasuk dengan India, China dan Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, Kee Ping memberitahu, keadaan tersebut menyebabkan ramai pelabur asing enggan datang ke negara ini untuk melabur selama 22 bulan PH memerintah.
"Malah, walaupun ramai pelabur dari AS menarik pelaburan mereka dari negara China berjumlah lebih AS$20 bilion namun mereka tidak berani melabur di Malaysia.
"Sebaliknya mereka memilih negara lain seperti Vietnam dan Thailand serta lain-lain lagi kerana tidak yakin dengan cara pentadbiran kerajaan PH ketika itu. Itulah kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan dengan penuh kontroversi.
"Kalau dibandingkan antara kerajaan PH selama 22 bulan dengan Perikatan Nasional (PN), pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selama enam bulan tanpa sebarang kontroversi adalah jauh bezanya.
"Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sama seperti pepatah Melayu diam, diam ubi berisi dan sentiasa menunaikan tanggungjawab membantu rakyat di peringkat akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian berucap membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.
Kee Ping turut memberi amaran kerajaan PN juga akan hancur berkecai, runtuh dan kalah besar dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) jika mereka meminggirkan orang Melayu Islam dan masyarakat bumiputera selaku kaum majoriti seperti diamalkan PH selepas menang PRU-15 lalu.
Beliau berkata, satu lagi perkara penting perlu ditangani oleh kerajaan PN adalah untuk memastikan mereka meraih kemenangan besar dan mampu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.
Bagaimanapun, Kee Ping yakin PN mampu meraih kemenangan dalam PRN Sabah jika semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan PN mampu bertolak ansur dalam pembahagian kerusi dan bekerjasama erat antara satu sama lain.
"Kalau Warisan (PH) kalah di Sabah ini tunjukkan pengundi akan pilih PN dalam PRU akan datang dan rakyat sudah menolak PH yang mengamalkan politik perkauman," ujarnya.
#Sumber : – MalaysiaGazetteMR : Sombong dan suka kencing rakyat
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt............oo000oo...........MINDARAKYAThttp://mindarakyat.blogspot.com/mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak TerpeliharaAnda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
No comments:
Post a Comment