Sunday, September 6, 2020

STAR bakal tanding 15 kerusi

TAMBUNAN - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bakal bertanding sekurang-kurangnya di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Selain itu, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, tiga lagi kerusi masih dibincangkan bersama parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan dijangka selesai sebelum pengumuman calon, sama ada pada Selasa atau Rabu depan.

"STAR meminta 18 kerusi dan kita sudah dapat 15. Tiga lagi kerusi masih dibincangkan kerana ada pertindihan (dengan parti rakan dalam PN)," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah ditetapkan pada 12 September, manakala pengundian awal 22 September.

Jeffrey yang enggan mendedahkan senarai kerusi yang akan ditandingi serta calon diketengahkan STAR pada PRN kali ini, berkata, senarai tersebut dijangka diumumkan serentak bersama parti rakan dalam PN pada Selasa atau Rabu ini.

Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Tambunan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Sebelum ini, Jeffrey mengumumkan STAR akan bertanding di DUN Paginatan dalam kawasan Parlimen Ranau dengan meletakkan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Abidin Madingkir yang menyertai parti tersebut pada Ogos selepas meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada akhir Julai.

Pada PRU14, selain Tambunan, STAR turut menang di kerusi DUN Bingkor, dan kedua-duanya terletak dalam Parlimen Keningau.

Satu lagi kerusi milik STAR ialah DUN Sook selepas penyandangnya Datuk Ellron Angin menyertai parti itu setelah keluar daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada 2018.

#Sumber :   - Bernama  

   

Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........MINDARAKYAThttp://mindarakyat.blogspot.com/mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS ©1439 Hakcipta Tak TerpeliharaAnda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

No comments:

Post a Comment